KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Jumaat, 7 Ogos 2009

TAHUN 4/ TEMA 5: AKTIVITI 7B-SEJARAH JALUR GEMILANG



Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu. Satu pertandingan telah dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Di dalam pertandiangan ini sebanyak 373 penyertaan telah diterima dan hanya tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

ENCIK HAMZAH BIN MOHAMAD
Rekaan bendera yang telah berjaya memenangi pertandingan ini adalah hasil ciptaan seorang arkitek kerajaan dari Johor iaitu
Allahyarham En. Mohamad bin Hamzah. Rekaan beliau menggambarkan sebelas jalur biru dan putih dan bulan sabit dan bintang berwarna kuning berada di sebelah kiri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950 telah memperkenankan rekaan tersebut setelah beberapa kali dilakukan pindaan. Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara pada 19 April 1950, seperti berikut: "Bahwa mengikut pendapat Majlis Perundangan Persekutuan, bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu hendaklah mengikut rupa seperti berikut: Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, dengan jalur merah di atas sekali, sukuan berwarna biru dengan bulan sabit bersama bintang pecah sebelas berwarna kuning di atasnya, dengan ukuran bendera standard enam kaki kali tiga kaki".

Pada 19 Mei 1950, rekaan bendera ini telah mendapat kelulusan daripada King George VI.

Pada 26 Mei 1950, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat pertama kalinya dalam satu majlis menaikkan bendera dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di perkarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Satu pindaan telah dilakukan ke atas bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia

Pada 16 September 1963, Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara bagi melambangkan kelahiran Malaysia .

Pada 9 Ogos 1965, Singapura telah berpisah daripada Malaysia. Namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Empatbelas jalur dan empatbelas pecahan bintang melambangkan maksud yang baru iaitu persekutuan tiga belas buah Kerajaan Negeri di dalam Kerajaan Persekutuan.

Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke40, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Jalur Gemilang sebagai nama rasmi bendera Malaysia.

Maksud dan lambang pada Jalur Gemilang
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja iaitu mewakili kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Sukuan berwarna biru tua melambangkan perpaduan dan rukun damai rakyat yang berbilang kaum.
Empatbelas jalur merah dan putih yang sama lebarnya melambangkan keanggotaan yang sama 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu, dalam Kerajaan Persekutuan.
Warna merah melambangkan kegagahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran.
Warna putih melambangkan keluhuran budi.

Pengertian "Jalur Gemilang"
Jalur - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur. Jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang - bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.

Jalur Gemilang Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotik, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Pencipta Jalur Gemilang iaitu Allahyarham Mohamed Hamzah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun, pada 13 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW