KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Selasa, 23 Mac 2010

TEMA 6 :SEDIA HADAPI CABARAN: HARI AIR SEDUNIA

Tingkatkan kesedaran jaga kualiti air


Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

BAHAGIAN Barat China iaitu wilayah Yunnan dan Guangxi sedang menghadapi bencana kemarau pada masa ini. Wilayah Yunnan dilaporkan menghadapi kemarau terburuk dalam tempoh 80 tahun yang akan menjejaskan lebih tujuh juta penduduk dan sektor pertaniannya.

Sementara di Malaysia, cuaca panas yang melanda awal bulan ini menyebabkan catuan air terpaksa dilaksanakan di daerah tertentu ekoran pengurangan taburan hujan di kawasan tadahan air. Perubahan cuaca yang tidak menentu pada masa ini memberi kesan kepada sumber air mentah di seluruh dunia.

Selain kuantiti, kualiti air yang dibekalkan kepada penduduk juga merupakan satu aspek yang penting. Menurut laman web www.worldwaterday.org, lebih 1.1 bilion penduduk dunia menggunakan sumber air yang tidak selamat sebagai air minuman setiap hari pada masa ini.

Menyedari hakikat tersebut, tema Air Bersih Untuk Kesihatan Sejagat dipilih sempena sambutan Hari Air Sedunia pada kali ini. Tema tersebut memberikan fokus untuk meningkatkan kesedaran mengenai kualiti air di kalangan penduduk dunia.

Sambutan Hari Air Mentah di peringkat antarabangsa dicadangkan pada Persidangan Pembangunan Alam Sekitar Pertubuhan

Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED) di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kemudiannya mengisytiharkan 22 Mac 1993 sebagai Hari Air Sedunia yang pertama.

Sejak itu, Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac dengan pelbagai tema pada setiap tahun sebagai satu platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan air mentah dan pengurusan sumber air mentah secara mapan.

Tema-tema Hari Air Sedunia sebelum ini ialah Menjaga Sumber Air Tanggungjawab Semua (1994), Wanita dan Air (1995), Air Untuk Kota Yang Haus (1996), Air Dunia: Adakah Ia Mencukupi (1997), Air Tanah: Sumber Yang Tidak Kelihatan (1998) dan Tinggal Di Bawah Arus (1999).

Tema-tema lain ialah Air Untuk Abad Ke-21 (2000), Air dan Kesihatan (2001), Air Untuk Pembangunan (2002), Air Untuk Masa Depan (2003), Air dan Bencana (2004), Air Untuk Hidup (2005), Air dan Budaya (2006), Menangani Kekurangan Air (2007), Sanitasi (2008) dan Perkongsian Air, Perkongsian Peluang (2009).

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dalam mesejnya sempena Hari Air Sedunia 2010 berkata, air merupakan sumber yang menjadi keperluan asas kepada semua kehidupan di atas planet bumi.

''Tema Sambutan Air Sedunia pada tahun ini iaitu Air Bersih Untuk Kesihatan Sejagat memberikan penekanan bahawa sumber air pada hari ini berhadapan dengan risiko terutamanya dari segi kualiti dan kuantiti. Lebih banyak orang mati disebabkan oleh air yang tidak selamat berbanding dengan jumlah kematian yang disebabkan oleh keganasan dan peperangan," katanya dalam laman web PBB.

Ki-moon menambah, biarpun sumber air yang penting mampu bertahan ia mudah terjejas dan semakin diancam. Penduduk yang semakin bertambah menyebabkan keperluan air, makanan, bahan mentah dan tenaga semakin meningkat. Ini ditambah pula dengan keperluan alam terhadap air secara semula jadi untuk memastikan ia terus bertahan. Senario ini membahayakan ekosistem yang menjadi tempat kita bergantung selama ini.

''Setiap hari kita membuang berjuta tan air kumbahan yang tidak dirawat, sisa pertanian serta industri ke dalam sistem air dunia. Air bersih semakin sukar diperolehi dan masalah ini akan menjadi lebih serius pada masa akan datang dengan perubahan iklim yang berlaku. Penduduk miskin akan menjadi golongan yang pertama menderita akibat pencemaran, kekurangan air dan kurangnya aspek kebersihan.

''Justeru, kita perlu melindungi dan menguruskan air yang ada secara mapan demi survival golongan miskin, mereka yang mudah terancam dan kehidupan semua makhluk di muka bumi," katanya.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Sdn. Bhd., Abdul Halem Mat Som ketika dihubungi berkata, kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna sentiasa menjadi keutamaan Syabas kerana air yang bersih adalah penting untuk kesihatan.

''Kualiti air yang dibekalkan Syabas kepada penduduk Selangor adalah dalam senarai 25 negara yang membekalkan kualiti air yang terbaik di dunia. Air yang dibekalkan oleh Syabas adalah selamat untuk diminum terus dari paip.

''Syabas sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatannya seperti mewujudkan Pusat Perkhidmatan Pelanggannya (Puspel) yang beroperasi 24 jam dan mengambil tindakan lebih kurang 30 minit selepas aduan diterima," katanya.

Tambah Abdul Halem, sempena Sambutan Hari Air Sedunia pada kali ini Syabas mengadakan pameran berkenaan industri air negara yang melibatkan proses dan teknologi membekalkan air bersih dan penjagaan sungai. Pameran berkenaan berlangsung di ibu pejabat Syabas mulai 22 Mac.

''Tema sambutan Hari Air Sedunia pada kali ini adalah bertepatan dengan misi dan visi Syabas iaitu Pembekal Air Bersih Yang Berkualiti. Sambutan pada kali ini akan melibatkan banyak program-program yang merapatkan pihak Syabas dengan pengguna yang akan berlangsung di 10 wilayah operasi Syabas sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam," jelasnya.

Katanya, program-program yang diadakan bertujuan mendidik pengguna mengenai ancaman kepada sumber air mentah termasuklah pencemaran, pemanasan global dan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik terutamanya di kawasan tadahan hujan.

Kata Abdul Halem, pengguna perlu faham bagaimana disalurkan kepada mereka supaya mereka tidak membiarkan masalah pencemaran air sungai berlaku.

''Melalui program Sambutan Hari Air Sedunia ini, Syabas berhasrat untuk mendekati para pengguna supaya mereka dapat menjadi mata dan telinga Syabas dalam memastikan air bersih yang dibekalkan tidak terganggu.

''Antara langkah yang perlu diambil oleh pengguna dalam memastikan kelicinan bekalan air oleh Syabas ialah dengan melaporkan segera insiden paip pecah atau rosak bagi mengelakkan pembaziran bekalan air," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Komen

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW