KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Jumaat, 30 Oktober 2009

LAHIRKAN BANGSA BERSATU PADU

Oleh LUQMAN HAZIQ dan AZAN FITRI HIDZIR

utusanjohor@utusan.com.my

KOTA TINGGI 29 Okt. - Sistem sekolah satu aliran mampu melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyatakan sokongan secara peribadi terhadap saranan itu, beliau berkata, sistem pendidikan satu aliran selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini perkara yang besar. Pada prinsip dan secara peribadi saya menyokong saranan itu. Dari segi kerajaan adalah macam mana kita hendak uruskan kerana kita ada aliran kebangsaan, swasta, persendirian dan soal ini soal besar tapi kita galak teruskan perbincangan.

"Saya hendak bersikap lebih terbuka, bincang dan debat dulu dan sampai satu peringkat supaya kita dapat satu gambaran lebih jelas dan menyeluruh tentang apa yang kita kehendaki," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai pandangan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang bersetuju supaya diperkenalkan sistem satu aliran di peringkat sekolah menengah untuk menyatupadukan rakyat.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini menyarankan kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan kaum tercapai.

Semalam, saranan itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk dilaksanakan bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai.

Muhyiddin berkata, Laporan Razak yang membuat kajian mengenai sistem pelajaran negara juga memberi fokus ke arah mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, walaupun negara mempunyai Dasar Pelajaran Kebangsaan, namun faktor sejarah yang merangkumi masyarakat majmuk menyebabkan Malaysia mengamalkan lebih daripada satu aliran sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Kalau disebutkan gagasan 1Malaysia, akhirnya akan menuju satu matlamat untuk melahirkan rupa bangsa Malaysia yang bersatu padu.

"Antara perkara paling pokok dalam hal ini adalah pendidikan untuk membina modal insan, sahsiah, perwatakan, peribadi dan sifat kemalaysiaan berdasarkan sistem pelajaran yang kita ada," katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik berbincang dan mendebatkan mengenai perkara itu supaya dapat mendengar dan mengetahui pandangan kaum Melayu, Cina, India dan semua rakyat mengenai perkara ini.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri juga pernah menyatakan bahawa sistem pelbagai aliran yang ada di Malaysia kini adalah sebahagian daripada 'warisan' negara.

"Soalnya, macam mana kita hendak bentuk semula supaya dapat diwujudkan kesatuan dari segi aliran. Situasi yang ada sekarang kena diurus dengan baik," katanya.

Jumaat, 23 Oktober 2009

KENALI PERAYAAN UMAT ISLAM : HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

MENYEMBELIH HAIWAN ADALAH SATU IBADAT SEMASA HARI RAYA AIDILADHA
Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.


MENUNAIKAN RUKUN ISLAM KE 5, IBADAT HAJI DI MEKAH
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

MENZIARAHI PUSARA SANAK SAUDARA DAN MEMBACA YASSIN SERTA TAHLIL MENJADI TRADISI ORANG MELAYU PADA SETIAP HARI RAYA
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka

KISAH PENYEMBELIHAN NABI ISMAIL  AS

Hari Raya Korban menyaksikan binatang-binatang korban ‘ditumbangkan’ dengan niat untuk melaksanakan syariat Allah. Peristiwa sejarah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail dijadikan dasar kepada syariat korban. Kisah penyembelihan Ismail ini diceritakan oleh Allah dalam surah As-Shaffat bermula dari ayat 102. Nabi Ibrahim telah bermimpi menyembelih anaknya lantas meminta pandangan anaknya tentang mimpi tersebut. Mimpi para nabi adalah wahyu. Nabi Ismail yang sememangnya seorang anak yang taat kepada perintah Allah terus bersetuju untuk menunaikan perintah Allah itu. Bayangkanlah iman mereka yang teguh itu, hanya keyakinan yang tinggi kepada Allah sahaja yang membolehkan Ibrahim dan Ismail menyempurnakan tugas yang amat berat yang diamanahkan oleh Allah. Namun dengan izin Allah dan kasih sayangNya, akhirnya Nabi Ismail yang hampir disembelih itu digantikan dengan seekor kambing yang seterusnya melapangkan hati Nabi Ibrahim untuk melakukan penyembelihan.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” [ 37 : 102]

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ). [ 37 :103]

Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim,  sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu[1284] Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. [37 : 104-105]

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. [37 : 106]

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[1285] [37: 107]

[1284] Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.

[1285]. Sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail a.s. maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkannya Qurban yang dilakukan pada hari Raya Haji.


Isnin, 19 Oktober 2009

16 SEPTEMBER MENJADI CUTI UMUM SEMPENA HARI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan 16 September sebagai cuti umum Hari Malaysia di seluruh negara mulai tahun depan.

Mengumumkannya pada sidang Dewan Rakyat pagi ini, Perdana Menteri berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat adalah satu titik sejarah yang amat penting.

"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Hari Malaysia diraikan setiap tahun untuk memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia membaitkan penyertaan Sabah dan Sarawak 16 September 1963.

Sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 18 Oktober 2009

TEMA 6: AKTIVITI 11B-BERHEMAH TINGGI AMALAN KITA

PANTUN BUDI

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi

Banyak ubi perkara ubi
Ubi keledek ditanam orang
Banyak budi perkara budi
Budi baik dikenang orang

Lipat kain lipat baju
Lipat kertas dalam puan
Dari air menjadi batu
Sedikit tak lupa budi tuan

Jentayu burung jentayu
Hinggap di balik pokok mayang
Bunga kembang akan layu
Budi baik bilakan hilang

Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Dewa sakti melayang ke Daik
Hendak mencari Dewa Jaruga
Kalau ada budi yang baik
Sampai ke mati orang tak lupa

Baik-baik bertanam padi
Jangan sampai dimakan rusa
Baik-baik termakan budi
Jangan sampai badan binasa

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga

Pergi ke sawah menanam padi
Singgah disungai menangkap ikan
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan

Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibayar mati

Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari

Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Tuan Puteri membeli ginseng
Singgah di pasar mencari kari
Jangan ikut budaya samseng
Kelak menyesal di kemudian hari

Dipetik dari Himpunan Puisi Klasik Dan Moden Sepanjang Zaman

Sabtu, 10 Oktober 2009

TEMA 6: SEDIA HADAPI CABARAN :TAHUN 5- AGAMA MEMBENTUK PERIBADI MULIA

PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA YANG PERTAMA
- KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

BERBUAT BAIK DAN SALING HORMAT MENGHORMATI AMATLAH DITUNTUT OLEH SETIAP AGAMA DI DUNIA

Bangsa dan Negara Malaysia telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara.

Setiap agama menuntut umatnya mengamalkan tingkah laku yang mulia, saling hormat menghormati sesama manusia, berbuat baik sesama insan, ada sifat belas ikhsan sesama manusia dan juga haiwan. Setiap agama juga menuntut umatnya menjaga kesopanan dan maruah diri serta menjauhkan diri segala perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Agama akan menjadi garis panduan dan benteng kepada umat manusia sejagat dalam menjalani hidup. Keteguhan agama dalam diri seseorang akan memandu ke arah kebaikan dan mencegah dari segala perbuatan yang mungkar.

Oleh yang demikian, menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.


Rujukan : Wikepedia

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW