KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Sabtu, 3 Julai 2010

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM

Kita percaya rakyat negara ini sudah faham dan terima kepentingan perpaduan kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara.
     Namun begitu, kadangkala kita menganggap perpaduan kaum merupakan suatu keadaan yang wujud dengan sendiri tanpa usaha hingga lupa adanya ancaman terhadapnya.
     Sebab itu kita perlu mengambil perhatian terhadap isu-isu yang boleh membangkitkan sentimen perkauman dan seterusnya mampu menjadi ancaman kepada semangat muhibah serta keharmonian di negara ini.
     Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh mengutarakan isu-isu penting yang memerlukan pembetulan dan langkah-langkah bagi mengatasinya. Tetapi apa yang penting adalah cara dan sikap dalam menangani sesuatu isu supaya ia tidak berbau perkauman.
     Dalam hal ini, kerjasama semua pihak dari pelbagai kaum perlu menjurus kepada memelihara perpaduan dan mengelak diri daripada memburukkan lagi hubungan antara kaum.
    Umpamanya dalam isu pengasingan pelajar mengikut kaum baru-baru ini. Sememangnya kita kesal sekiranya perkara ini benar-benar berlaku. Tetapi kita lebih kesal jika pendekatan yang dibuat dalam menangani masalah ini adalah cara mengeksploit sentimen perkauman.
     Ia harus dilihat dari sudut pendidikan dan bukannya perkauman. Elemen kebetulan juga harus diambil kira. Tetapi di atas segalanya ialah sikap jujur kita dalam memelihara perpaduan kaum. Janganlah hendaknya kita mempunyai sikap buruk sangka yang begitu menebal hingga apa yang kebetulan dilihat pula sebagai tindakan perkauman.
     Begitu juga dengan isu pengubahan nama jalan di Ipoh tidak lama dahulu. Jika perkara itu tidak ditangani dengan jujur, ia boleh menjadi satu lagi sentuhan emosi perkauman. Apa yang kebetulan juga menjadi isu perkauman.
    Justeru, kita dapat lihat bahawa perpaduan kaum tidak boleh dipandang sebagai keadaan semula jadi. Kita, seluruh rakyat Malaysia harus bersama memelihara dan memupuk perpaduan kaum.
    Maka dalam hal ini, acara seperti Rumah Terbuka Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri merupakan peristiwa positif yang dapat turut memupuk perpaduan kaum.
    Melihat 100,000 orang pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Malaysia, kita merasa optimis bahawa masa depan perpaduan kaum di negara ini adalah cerah dan memberangsangkan.
RUMAH TERBUKA MALAYSIA SEMPENA TAHUN BARU CINA
   Maka adalah wajar bagi kerajaan untuk meneruskan tradisi rumah terbuka kebangsaan ini bukan saja untuk Hari Raya tetapi juga untuk lima perayaan utama lain iaitu Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
     Tradisi ini akan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia hidup dalam penuh muhibah dan harmoni dengan semangat toleran dan saling hormat-menghormati di antara kaum-kaum yang berbeza.
     Namun begitu, acara ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memelihara dan memupuk perpaduan kaum secara menyeluruh.
     Di peringkat masyarakat, ia harus diperluaskan melalui acara-acara peringkat setempat supaya perpaduan kaum benar-benar wujud dan bukan semata-mata dalam acara-acara formal saja.
    Tetapi di atas segalanya ialah kesedaran dan sikap setiap individu warganegara Malaysia yang insaf bahawa kemakmuran negara amat bergantung kepada keutuhan hubungan antara kaum.
     Dalam tindakan seharian, semangat perpaduan ini hendaklah diambil kira kerana ia menentukan survival negara.
                                                                                            Utusan Malaysia, 21 Januari 2002

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW