KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Isnin, 12 Julai 2010

Dasar Dalam Negara : Perpaduan Negara

Portal Pendidikan Utusan / Bahan Arkib 2002



1.      Definisi Perpaduan
-         Satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.
-         Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita.

2.      Masyarakat Majmuk
      Ciri yang nyata dalam sesebuah masyarakat yang bersifat majmuk ialah wujudnya jurang perpisahan di antara berbagai golongan etnik atau bangsa yang tinggal di dalam masyarakat yang berkenaan. Di negara kita, perpisahan sedemikian iaitu secara fizikal, telah lama wujud di kalangan penduduk di satu-satu petempatan bahkan pada zaman Kesultanan Melaka keadaan ini wujud untuk memudahkan perjalanan sistem pentadbiran – iaitu satu-satu golongan pendatang itu biasanya diletakkan di bawah ketua golongan itu sendiri. Maka muncullah perkampungan Cina, Jawa, India dan sebagainya.

     Terdapat perbezaan yang besar di antara keadaan dahulu, iaitu seperti di zaman kesultanan Melaka dengan keadaan yang wujud semasa zaman penjajah. Dahulu, orang asing yang bermastautin di Malaysia ini tidak ramai, apa lagi mereka yang mengambil keputusan untuk berintegrasi dengan penduduk pribumi dan seterusnya menghilangkan keperibadian asalnya. Pastinya soal status politik penduduk asing itu tidak pernah dipertikaikan : orang mendatang mempunyai negara ibunda masing-masing; kehadiran mereka di kawasan ini hanyalah sebagai penduduk sementara walaupun, pada hakikatnya, ramai juga yang akhirnya dikebumikan di negara ini.

      Walau bagaimanapun, akibat penjajahan pada abad ke 19 terutamanya di Asia Tenggara telah membawa perubahan yang besar kepada komposisi penduduk di beberapa negara jajahan takluk. Wujudnya pentadbiran British di negara ini menggalakkan lebih ramai orang Cina berhijrah masuk kerana permintaan bijih timah yang meningkat di Eropah. Untuk mempercepatkan lagi pengeluaran hasil ladang terutamanya getah, kaum Tamil telah dibawa masuk ke negara ini dari India yang sememangnya sudah menjadi tanah jajahan British. Perkembangan ekonomi yang semakin peast ini sedikit sebanyak mengubah keadaan. Penduduk negara luar semakin ramai di negara ini dan masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

      Pada tahun-tahun 1920-an, pola masyarakat majmuk semakin nyata. Orang Melayu tinggal di kawasan desa atau pinggir bandar; orang Cina di kawasan bandar dan orang India di ladang-ladang getah. Perpisahan fizikal ini menyebabkan hubunbgan antara kaum menjadi semakin minima.


3.      Dasar Perpaduan 
Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu integrasi dan asimilasi.
Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
Manakala asimilasi pula ialah satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar. Menurut Vender Zanden, seorang ahli sosiologi, asimilasi adalah satu proses dalam mana kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama.

Cara-cara mencapai perpaduan

Politik

Sosial

Ekonomi

·        Integrasi politik
·        Integrasi kebudayaan
·        Integrasi sosial
·        Integrasi pendidikan
·        Integrasi wilayah
·        Integrasi ekonomi


4.      Punca masalah perpaduan – Sistem pendidikan yang berbeza 
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, iaitu pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awal tahun itu, pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. 
Pelajaran Cina telah membarai kesedaran kebangsaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. 
Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Walau bagaimanapun, keadaan sekolah Tamil tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah Cina, Melayu atau Inggeris. 
Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernacular – yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama.

Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

5.      Bagaimana pendidikan boleh membentuk perpaduan 
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia.

Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari :
“ Sistem pelajaran yang ada pada kita sekarang ialah suatu usaha yang disedari dan bersungguh-sungguh untuk memberi jawapan atau penyelesaian kepada masalah perpaduan ini dengan kaedah-kaedah yang praktikal, wajar dan dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Asas-asas perpaduan sistem pendidikan 
·        Sistem persekolahan yang sama bagi semua
      Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan.

      Seterusnya walaupun pada peringkat rendah ini sekolah-sekolah diasingkan oleh bahasa pengantar yang berbeza namun sukatan pelajaran dan sistem persekolahan disamakan. Pada peringkat menengah pula ditubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan dengan pengantar bahasa Melayu dan semua kanak-kanak akan memasuki sama ada Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Inggeris tanpa mengira bahasa pengantar yang dilaluinya pada peringkat rendah.

·        Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
      Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

·        Kurikulum yang sama
      Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikilum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara.

·        Sukatan pelajaran yang seragam
      Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.

      Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dlam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam.

·        Peperiksaan yang seragam
      Rancangan kerajaan untuk menseragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW