KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Isnin, 5 April 2010

TEMA 5 :Gagasan 1Malaysia Kini Jadi Gerakan Massa, Kata Najib



KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata.

Beliau juga bersyukur dan bangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street dan Brickfields tidak berapa lama dulu.

"Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia telah menjadi kelaziman ramai pihak, tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenal pasti dengan lambang 1Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1Malaysia di antara empat pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri daripada dua pasangan Melayu, satu Cina dan satu India yang disaksikan oleh saya sendiri.

"Simbol 1Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh badan korporat, badan sukarela dan juga sebagai simbol motif dalam bentuk pakaian," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Alexander Nantha Linggi (BN-Kapit) di sini.

Anggota Parlimen Kapit itu meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kejayaan Gagasan 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.

Najib berkata kejayaan dan populariti 1Malaysia juga telah menyebabkan ada pihak tertentu memperkenalkan konsep "Middle Malaysia".

"Apabila Gagasan 1Malaysia semakin popular, tiba-tiba timbul satu usaha baru, kononnya atas nama "Middle Malaysia, tapi pada pengamatan ramai, "Middle Malaysia" adalah rebranding kepada konsep "Malaysian Malaysia" yang sudah ditolak, terutama sekali rakyat pribumi kerana ia tidak pernah berpaksikan perlembagaan dan sejarah negara," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjayakan lagi gagasan 1Malaysia, komitmen semua pihak diperlukan kerana alternatif kepada kejayaan konsep tersebut adalah kewujudan sebuah negara Malaysia yang berpecah-belah, tidak stabil dan lemah.

"Demi untuk anak-anak kita... ini bukanlah masa depan yang kita dambakan. Kerajaan yakin dan percaya bahawa gagasan 1Malaysia boleh menjadi formula nasional yang boleh memupuk kewujudan bangsa Malaysia dan seterusnya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," kata beliau.

Beliau berkata penghalang terbesar bagi kejayaan pencapaian 1Malaysia atau perpaduan negara yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani.

"Oleh itu, kita semua rakyat Malaysia harus ikhlas memeriksa prasangka dan prejudis masing-masing dan jika tidak, kita berisiko menzalimi saudara-saudara kita. Janganlah kita terus berpegang kepada prasangka dan prejudis tanpa mengetahui kebenaran yang pasti.

"Marilah kita bergerak dari mendefinasikan identiti kita berasaskan perbezaan yang wujud sesama kita kepada mencari titik-titik persamaan, tembok-tembok yang lama harus kita runtuhkan manakala jambatan-jambatan yang baru harus kita bina," katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan kerana matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional.

Beliau berkata pencapaian gagasan itu telah menjadi matlamat nasional secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dahulu dan keutamaan pentadbiran semua perdana menteri terdahulu.

"Hari ini kerajaan akan meneruskan perjuangan untuk mencapai perpaduan nasional yang lebih sempurna sebagai matlamat perdana dan usaha untuk mencapainya bukan usaha yang bermusim.

"Ia adalah titik permulaan sebermula negara mencapai kemerdekaan tetapi tiada titik noktah... perpaduan nasional adalah usaha yang memerlukan pembajaaan dan penjagaan yang berterusan," katanya.

Najib berkata tugas tersebut diwarisi daripada satu generasi Malaysia ke generasi yang berikutnya kerana tanpa perpaduan negara, kestabilan politik yang menjadi kunci kepada kemakmuran dan kestabilan negara tidak akan dapat diwujudkan.

Beliau berkata prinsip pertama konsep 1Malaysia menyatakan perpaduan negara tidak boleh dipaksa atau diintrodusikan melalui penggubalan undang-undang semata-mata.

"Untuk berkekalan, ia harus datang dengan rela hasil kesedaran setiap individu bahawa untung nasib mereka akan terpelihara secara kolektif, sesungguhnya perubahan kerangka minda atau mind set merupakan perkara asas titik tolaknya pencapaian gagasan 1Malaysia," katanya.

Najib berkata prinsip kedua pula adalah dasar dan pertimbangan yang adil dan saksama kepada semua kaum, supaya tiada mana-mana kelompok etnik akan berasa terpinggir.

Najib bagaimanapun menegaskan bahawa Gagasan 1Malaysia tetap berpaksikan perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau berkata kejayaan perpaduan negara boleh diukur daripada sikap rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap saudara mereka daripada kaum yang berbeza.

Perdana Menteri berkata tahap terendah perpaduan nasional ialah sikap toleransi terhadap perbezaan yang wujud, tahap kedua adalah penerimaan sepenuhnya terhadap perbezaan yang ada, manakala tahap ketiga yang merupakan tahap tertinggi adalah meraikan perbezaan.

Beliau berkata dalam tahap ketiga tersebut, perbezaan bukan lagi menjadi punca persengketaan tetapi telah berubah menjadi sumber kekuatan.

"Saya ingin jelaskan bahawa kefahaman Gagasan 1Malaysia mesti dilihat bersekali dengan ungkapan Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

"Ini adalah kerana apa pun tindakan kerajaan akan lakukan, fokusnya perlulah menjurus kepada kepentingan rakyat dan tindakan yang mementingkan pencapaian dan keberhasilan dan program seperti pelancaran Klinik 1Malaysia adalah cerminan gagasan ini," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW