KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Rabu, 21 April 2010

TEMA 4-KENALI BUDAYA MALAYSIA :PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SABAH - SEPAK MANGGIS


Sepak Manggis adalah satu sukan tradisi yang diadakan semasa pesta karamaian, seperti majlis perkahwinan. Dalam majlis perkahwinan, sepak manggis ini akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dengan rumah pengantin. Permainan ini melibatkan satu tiang yang diperbuat daripada bambu. Bambu itu dipacakkan di atas tangga dengan ketinggian lebih kurang 25 kaki. Di atas bambu tersebut, diperbuat satu pacak yang menggantung satu kotak yang dihiasi dengan kain/kertas berwarna warni. Di dalam kotak itu, dimasukkan hadiah menarik, yang biasanya berupa wang ringgit. Permainan ini dimainkan dengan seorang menendang bola "sepak takraw" yang diperbuat daripada rotan dengan menendang cara bermain sepak takraw. Bezanya ialah bola itu akan ditendang ke atas, dan sasarannya ialah kota berwarna-warni yang mengandungi wang hadiah di atas.
Sebelum dimainkan permainan ini, mempelai lelaki dan perempuan akan merasmikannya dengan berjalan mengelilingi tiang bambu itu, bersama-sama dengan pengapit-pengapit mereka sebanyak tujuh (7) kali. Ini akan diikuti dengan pengantin lelaki itu sendiri akan menendang bola takraw itu, yang dibalingkan oleh pasangan/isterinya. Percubaan boleh dibuat sebanyak tujuh (7) kali. Ini sekaligus dapat menarik perhatian orang ramai dan menandakan bahawa permainan sepak manggis ini telah bermula.
Peraturannya ialah agak terbuka. Sesiapa sahaja boleh menyertainya walaupun kaum wanita agak keberatan untuk menyepak bola tersebut. Pun begitu, adat istiadat mahukan supaya kanak-kanak yang kecil memulakan, dan kemudiannya diikuti oleh remaja, dan akhirnya orang dewasa. Selepas itu, ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Sesiapa yang menendang bola itu dan berjaya mengenakan sasaran kota berwarna-warni, maka dialah yang akan mendapat hadiah tersebut. Oleh kerana tiang bambu itu tinggi, maka adalah agak sukar bagi mereka untuk menepati sasaran. Permainan ini boleh dibuat sepanjang hari, sehinggalah ada yang berjaya menepati sasaran. Hadiahnya agak lumayan dan biasanya hadiah itu disediakan oleh pengantin lelaki. Adalah dipercayai pada Majlis Perkahwinan di Tempasuk 1 itu, hadiahnya berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Permainan sepak manggis ini adalah sukan tradisi warisan masyarakat Kadazandusun Tindal dan Bajau yang tinggal berhampiran. Budaya kedua-dua masyarakat ini telah diadunkan dan permainan sepak manggis ini diwujudkan sebagai satu acara memeriahkan suasana sambil memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan.
Sukan ini adalah sangat menarik dan mempunyai unsur-unsur budaya yang simbolik. Ianya harus diteruskan, dipromosi dan diwarisi oleh generasi muda, baik masyarakat Kadazandusun mahupun masyarakat Bajau.


Rujukan : Artikel Permainan Tradisional Etnik Sabah

TEMA 4 :PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW


Tibow-sejenis permainan tradisi masyarakat Melanau yang sangat popular. Dikenali sebagai Pisa' Tibow, permainan ini dilangsungkan oleh masyarakat kampung sebagai simbol perpaduan dan bersuka ria di samping menyambut ketibaan musim buah. Dan sebagai pemainan yang digemari ramai-waktu inilah anak-anak muda berkaul - ia sebenarnya merupakan pesta untuk mencari jodoh.
Tibow lazimnya dimainkan di kawasan tanah lapang, belakang atau hujung kampung. Biasanya, tapak untuk permainan tersebut haruslah lembut dan tidak mempunyai batu-batu kerikil yang keras. Bahkan di sesetengah tempat, diletakkan pasir untuk mengelakkan para pemain yang jatuh hayunan daripada mendapat sebarang kecederaan parah.
Diadakan pada musim buah, lazimnya pada awal tahun, tibow dimainkan bermula pada waktu petang, hingga kadang-kadang sehingga larut malam. Pada zaman dahulu, penduduk akan bermain pada waktu bulan mengambang, kerana pada waktu inilah suasana di sekitar tapak permainan tampak terang. Dan dari segi keselamatan, ia akan memudahkan permainan tersebut.
Bermain tibow mengikut tradisi Melanau Mukah, tidaklah semudah seperti yang dilihat. Terdapat beberapa pantang larang dan tradisi yang perlu diikuti untuk membolehkan si pemain bermain dengan selamat. Bahkan untuk mendirikan peralatannya pun harus dengan tertib dan istiadatnya sendiri. Ini termasuklah dengan menyediakan bubur kacang dan penglibatan tenaga yang banyak.
Sebanyak dua tiang kayu yang masing-masingnya panjang melebihi 30 kaki diperlukan untuk pembinaan tiang tibow ini, selain beberapa batang kayu sederhana sebagai tangga rak. Rotan sega dan daun muda pula digunakan untuk membentuk penghayun manakala set canang dan gendang melela pula dipalu bagi memeriahkan dan menambahkan gempar suasana.
Semasa mengangkat untuk mendirikan kedua-dua tiang itu, pantun dinyanyikan beramai-ramai: Kat kerakat, Kerurieng udat, Tibow idei pada 'mekat'  Pantun ini merupakan pemujaan kepada ipo' tibow atau dewa yang menguasai permainan tibow dan bertujuan meminta pertolongan untuk memudahkan tugas-tugas mendirikan tiang itu.      
Rujukan : Permainan Tradisional Etnik Sarawak

Isnin, 19 April 2010

TEMA 6 :SELAMAT MENYAMBUT HARI BUMI YANG KE 40


Tarikh 22 April 2010 ini genap ulang tahun ke 40 sambutan Hari Bumi mula diperkenalkan sejak tahun 1970.Kalau bulan lepas kita sambut Earth Hour, bulan ni kita langkah satu lagi ke depan untuk sambut Earth Day. Untuk makluman kepada mereka yang masih belum jelas mengenai hari Bumi ni. Ianya merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar.
Sejarah sebenar hari bumi ni bermula pada September 1969 iaitu di dalam sebuah persidangan di Seattle, Washington, Senator A.S. Gaylord Nelson pada masa itu mengumumkan bahawa musim bunga 1970 akan diadakan demonstrasi dari akar umbi di seluruh negara bagi pembelaan terhadap alam sekitar.
Senator tersebut pada mulanya mencadangkan bantahan alam sekitar di seluruh negara untuk menjadikan alam sekitar sebagai agenda negara. Pada 22 April 1970 dikatakan hampir 20 juta rakyat Amerika Syarikat memenuhi taman dan auditorium. Hari Bumi pertama menjadi pembuka jalan terbentuknya United States Environmental Protection Agency/US EPA          
Setakat ini terdapat 15 cara yang disyorkan untuk menyambut Hari Bumi ini;




  1. Tanam Pokok;
  2. Kitar Semula;
  3. Belajar sesuatu berkaitan alam sekitar;
  4. Kurangkan pembelian barang baru, gunakan barangan sedia ada
  5. Galakkan kanak-kanak kitar semula permainan mereka yang lama
  6. Bersihkan kawasan dan buang sampah sebetulnya;
  7. Nyanyi, dengar dan hayati ‘Earth Song’
  8. Adakan earth day fair, pameran dan sebagainya;
  9. Taklimat, ceramah dan sesi forum mengenai hari bumi;
  10. Memakai warna hijau atau coklat, badge khas hari bumi;
  11. Galakkan perbincangan mengenai hari bumi bersama kawan-kawan;
  12. Masakan istimewa sempena hari bumi, makanan segar dari ladang;
  13. Sumbangan kepada tabung atau dana pemeliharaan bumi;
  14. Gunakan basikal untuk menuju ke destinasi yang munasabah; dan
  15. Sentiasa ingat bahawa setiap hari adalah hari bumi

Rujukan :myjazmanie dan Utusan Malaysia

Rabu, 7 April 2010

ALFATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM TUAN HJ AZMAN ( GPK 1 SMK NITAR)

Lebih kurang 6.45 pagi hari ini ,7hb April 2010, Cikgu Zaliha Ismail ( Pengetua SMK Tenggaroh )telah kehilangan suaminya tersayang, Cikgu Azman ( GPK 1 SMK Nitar ) akibat kemalangan jalanraya berhampiran balai raya Kampung Sawah Dato'.

Kepada Cikgu Zaliha dan anak-anak, kami semua warga SKSD mengucapkan takziah dan berharap cikgu sekeluarga tabah menghadapi dugaan yang Allah S.W.T berikan ini.

Kepada semua pengunjung blog, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Cikgu Azman dan bertafakur untuknya.

Kepada rakan-rakan yang berada di Mersing ketika ini, saya berharap rakan-rakan sekelian dapat menziarahi keluarga Cikgu Zaliha. Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Cikgu Azman ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Amin.

Isnin, 5 April 2010

TEMA 5 :Gagasan 1Malaysia Kini Jadi Gerakan Massa, Kata Najib



KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata.

Beliau juga bersyukur dan bangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street dan Brickfields tidak berapa lama dulu.

"Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia telah menjadi kelaziman ramai pihak, tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenal pasti dengan lambang 1Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1Malaysia di antara empat pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri daripada dua pasangan Melayu, satu Cina dan satu India yang disaksikan oleh saya sendiri.

"Simbol 1Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh badan korporat, badan sukarela dan juga sebagai simbol motif dalam bentuk pakaian," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Alexander Nantha Linggi (BN-Kapit) di sini.

Anggota Parlimen Kapit itu meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kejayaan Gagasan 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.

Najib berkata kejayaan dan populariti 1Malaysia juga telah menyebabkan ada pihak tertentu memperkenalkan konsep "Middle Malaysia".

"Apabila Gagasan 1Malaysia semakin popular, tiba-tiba timbul satu usaha baru, kononnya atas nama "Middle Malaysia, tapi pada pengamatan ramai, "Middle Malaysia" adalah rebranding kepada konsep "Malaysian Malaysia" yang sudah ditolak, terutama sekali rakyat pribumi kerana ia tidak pernah berpaksikan perlembagaan dan sejarah negara," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjayakan lagi gagasan 1Malaysia, komitmen semua pihak diperlukan kerana alternatif kepada kejayaan konsep tersebut adalah kewujudan sebuah negara Malaysia yang berpecah-belah, tidak stabil dan lemah.

"Demi untuk anak-anak kita... ini bukanlah masa depan yang kita dambakan. Kerajaan yakin dan percaya bahawa gagasan 1Malaysia boleh menjadi formula nasional yang boleh memupuk kewujudan bangsa Malaysia dan seterusnya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," kata beliau.

Beliau berkata penghalang terbesar bagi kejayaan pencapaian 1Malaysia atau perpaduan negara yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani.

"Oleh itu, kita semua rakyat Malaysia harus ikhlas memeriksa prasangka dan prejudis masing-masing dan jika tidak, kita berisiko menzalimi saudara-saudara kita. Janganlah kita terus berpegang kepada prasangka dan prejudis tanpa mengetahui kebenaran yang pasti.

"Marilah kita bergerak dari mendefinasikan identiti kita berasaskan perbezaan yang wujud sesama kita kepada mencari titik-titik persamaan, tembok-tembok yang lama harus kita runtuhkan manakala jambatan-jambatan yang baru harus kita bina," katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan kerana matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional.

Beliau berkata pencapaian gagasan itu telah menjadi matlamat nasional secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dahulu dan keutamaan pentadbiran semua perdana menteri terdahulu.

"Hari ini kerajaan akan meneruskan perjuangan untuk mencapai perpaduan nasional yang lebih sempurna sebagai matlamat perdana dan usaha untuk mencapainya bukan usaha yang bermusim.

"Ia adalah titik permulaan sebermula negara mencapai kemerdekaan tetapi tiada titik noktah... perpaduan nasional adalah usaha yang memerlukan pembajaaan dan penjagaan yang berterusan," katanya.

Najib berkata tugas tersebut diwarisi daripada satu generasi Malaysia ke generasi yang berikutnya kerana tanpa perpaduan negara, kestabilan politik yang menjadi kunci kepada kemakmuran dan kestabilan negara tidak akan dapat diwujudkan.

Beliau berkata prinsip pertama konsep 1Malaysia menyatakan perpaduan negara tidak boleh dipaksa atau diintrodusikan melalui penggubalan undang-undang semata-mata.

"Untuk berkekalan, ia harus datang dengan rela hasil kesedaran setiap individu bahawa untung nasib mereka akan terpelihara secara kolektif, sesungguhnya perubahan kerangka minda atau mind set merupakan perkara asas titik tolaknya pencapaian gagasan 1Malaysia," katanya.

Najib berkata prinsip kedua pula adalah dasar dan pertimbangan yang adil dan saksama kepada semua kaum, supaya tiada mana-mana kelompok etnik akan berasa terpinggir.

Najib bagaimanapun menegaskan bahawa Gagasan 1Malaysia tetap berpaksikan perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau berkata kejayaan perpaduan negara boleh diukur daripada sikap rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap saudara mereka daripada kaum yang berbeza.

Perdana Menteri berkata tahap terendah perpaduan nasional ialah sikap toleransi terhadap perbezaan yang wujud, tahap kedua adalah penerimaan sepenuhnya terhadap perbezaan yang ada, manakala tahap ketiga yang merupakan tahap tertinggi adalah meraikan perbezaan.

Beliau berkata dalam tahap ketiga tersebut, perbezaan bukan lagi menjadi punca persengketaan tetapi telah berubah menjadi sumber kekuatan.

"Saya ingin jelaskan bahawa kefahaman Gagasan 1Malaysia mesti dilihat bersekali dengan ungkapan Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

"Ini adalah kerana apa pun tindakan kerajaan akan lakukan, fokusnya perlulah menjurus kepada kepentingan rakyat dan tindakan yang mementingkan pencapaian dan keberhasilan dan program seperti pelancaran Klinik 1Malaysia adalah cerminan gagasan ini," katanya.

-- BERNAMA

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW