KITA BOLEH MALAYSIA BOLEH

SAYA ANAK MALAYSIA

Sabtu, 29 Ogos 2009

SEMARAKKAN ERTI KEMERDEKAAN, KEBEBASAN NEGARA

KEMERDEKAAN sewajarnya menyedarkan rakyat mengenai erti kebebasan dan kemakmuran negara. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana melalui kemerdekaan, kita mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.

Sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan mempunyai makna mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksudnya dengan tepat.

Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran di sekolah amat penting bagi mendalami semangat dan erti kemerdekaan.
Tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan kesyukuran dan semangat patriotik. Ini kerana kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Kedatangan tarikh keramat itu diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyat.

Perpaduan negara sangat penting dan ia menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang penting, terutama sekali perpaduan negara.
Perpaduan hendaklah menjadi asas kepada semua aktiviti dan rancangan dari semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Sikap perkauman dan apa juga bentuk polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara. Maka semua pihak mesti berazam untuk memerangi polarisasi kaum sama seperti kita mengisytiharkan perang terhadap ancaman dadah dan jenayah.
Bagi membolehkan proses itu terhindar daripada rintangan, pembuat dasar dan mereka yang melaksanakannya hendaklah selalu tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Segala rancangan pembangunan, perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan keadilan hanya akan memberi makna jika rakyat berbilang kaum memperkukuhkan perpaduan.

Usaha saling bekerjasama rakyat Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat cinta dan setia kepada negara. Semua rakyat perlu berbangga menjadi warga Malaysia.

Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.

Tidak dinafikan bahawa hari ulang tahun kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama di kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.
Nilai murni menjadi asas penting kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha pencapaian taraf sebuah negara maju.

Ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian.
Apa yang perlu ditekan sekarang ialah kita harus memperseimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan kerohanian dan akhlak, di samping berusaha mencapai integrasi kaum dan perpaduan negara dalam Satu Malaysia.

Petikan: Utusan Malaysia Online/27/8/2009

PERPADUAN 1 MALAYSIA

TANGGAL 31 Ogos 2009 nanti, genaplah selama 52 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan. Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur yang kita nikmati hari ini telah meniti ranjau dan duri yang sangat hebat.

Biarpun lakaran sejarah itu telah mencatat bahawa kemerdekaan yang kita peroleh daripada penjajah Barat bukan bermandikan darah atau dengan mengangkat senjata, tetapi implikasi serta halangannya sangat besar. Kita telah berperang dan berjuang dalam usaha membentuk kesepakatan dan perpaduan antara kaum.

Perjuangan ini sangat sukar kerana rakyat kita masih belum sebati acuannya ketika itu sehinggakan rasa kurang percaya masih bertapak di dalam diri. Pengaruh komunis dan dakyah penjajah yang ditinggalkan, kemudian dimarakkan lagi dengan isu perkauman begitu sukar dileraikan dalam diri rakyat yang akhirnya mencetuskan detik hitam 13 Mei 1969.

Namun begitu, titik hitam itu semakin hari semakin terpadam kerana rakyat negara ini semakin bertamadun dan sofistikated. Tahu menilai baik buruk dan implikasi yang akan ditanggung jika mengabaikan dasar ini.

Asas-asas perpaduan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat sebenarnya telah pun diusahakan dan dijayakan oleh Tunku Abdul Rahman yang memimpin barisan perpaduan ketika itu.

Usaha-usaha itu diteruskan pula oleh Perdana Menteri atau pemimpin-pemimpin seterusnya hingga ke hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika dahulu kita disajikan dengan konsep perpaduan kaum atau integrasi nasional, tetapi hari ini “Satu Malaysia” adalah pengukuhan kepada dasar-dasar yang relevan yang dibentuk dan diamalkan selama 52 tahun itu.

Pengalaman menikmati kemerdekaan sehingga hari ini yang diasaskan berpandukan prinsip perbincangan atau musyawarah yang dipupuk bersama nilai kesefahaman dan kesepaduan antara kaum atau ras negara ini yang berbeza budaya, agama dan asal usul sedikit demi sedikit mula memperlihatkan hasilnya.

Prinsip toleransi dan perpaduan merupakan acuan yang terbaik sehingga negara ini telah diiktiraf sebagai “role model” kepada negara-negara membangun seluruh dunia. Pemupukan perpaduan kaum akan terus menjadi agenda dalam pembangunan negara dan matlamat terakhir kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memantapkan lagi kestabilan negara dari aspek sosio-politik di samping mengekalkan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pembangunan yang dirangka oleh kerajaan telah menetapkan satu paradigma ke arah membolehkan negara mencapai taraf sebuah negara maju.

Sebagaimana terkandung dalam Wawasan 2020 daripada semua sudut keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kemajuan sains dan teknologi, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi.

Rakyat Malaysia pada hari ini seharusnya membuang jauh-jauh perasaan prasangka sebaliknya menganggap bahawa diri mereka adalah bangsa Malaysia. Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan komitmen dan semangat “Satu Malaysia” dengan memberi tumpuan terhadap tugas serta tanggungjawab dengan penuh iltizam, keazaman, keyakinan dan bertekad demi kepentingan pembangunan dan kemajuan negara.

Oleh MOHD. SUBHI MARSAN
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Isnin, 24 Ogos 2009

REMAJA, HAYATI DAN HARGAILAH NILAI KEMERDEKAAN.


Malaysia telah banyak memperoleh kejayaan dan berada pada landasan yang tepat untuk mencipta kecemerlangan hasil kemerdekaan yang diraih sejak 1957. Kemerdekaan telah berjaya memberikan kita mutu kehidupan yang selesa dengan pelbagai peluang yang terbuka luas.


Negara kita telah mampu membina kedudukan yang kukuh dalam semua bidang, sama ada politik, ekonomi mahupun sosial agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara dan meneruskan kesinambungan usaha -usaha yang telah dijayakan oleh generasi terdahulu.


Kesemua pihak yang mempunyai kepentingan di negara ini, daripada pemimpin, tenaga kerja kerajaan, swasta, mahupun golongan profesional, buruh, petani dan belia, mempunyai tanggungjawab penting untuk mewarnakan dan mencorakkan masa depan Malaysia hasil kemerdekaan yang dikecapi.


Golongan muda khususnya, tidak sepatutnya lupa akan pengorbanan generasi terdahulu untuk memerdekakan negara ini selepas dijajah ratusan tahun lamanya. Menghayati sejarah perjuangan bangsa menjadi satu tugas penting manakala usaha memupuk semangat cinta akan negara perlu diteruskan. Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh agar menjadi orang yang berguna hingga boleh memberi khidmat dan sumbangan kepada negara.


Ilmu yang ditimba akan dapat dijanakan untuk membangunkan negara setanding dengan negaranegara yang maju . Kita mengimpikan hasrat agar negara ini sentiasa menjadi penanda aras kepada negara-negara lain dalam soal kemajuan hidup manusia secara menyeluruh. Komitmen ini juga perlu dizahirkan oleh para remaja dengan kesanggupan menyumbangkan tenaga kepada negara terutama pada bila-bila masa.


Penglibatan yang bersungguh-sungguh dalam berbagai-bagai aktiviti kemasyarakatan dengan memberi khidmat membantu golongan yang miskin, orang tua, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan sebagainya juga perlu menjadi agenda remaja; golongan yang amat kita harapkan menerajui negara pada masa depan. Remaja boleh memanfaatkan segala potensi yang ada dalam diri mereka untuk berusaha membangunkan masyarakat yang sihat, penyayang, dan cinta akan negara.


Setiap daripada kita, ada peranan yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan masyarakat dan negara ini. Tugas murni yang dilaksanakan ini seharusnya digalas dengan penuh kecekapan dan berintegriti. Kesedaran dan kefahaman terhadap peranan menjayakan misi dan program pembangunan negara merupakan semangat yang perlu terus bersemarak dalam kalangan remaja walaupun negara telah mencapai kemerdekaan sekian lama.


Kepesatan pembangunan dan keutuhan perpaduan yang dicapai sejak merdeka amat membanggakan kita. Kita yakin bahawa kita mampu untuk pergi lebih jauh lagi. Sebagai warganegara, kita boleh berkongsi idea dan pandangan agar bersama-sama mencorakkan negara ini menjadi Malaysia yang kita impikan.


Kemerdekaan yang dipertahankan ini amat besar ertinya dan segala -galanya bermula dengan golongan muda yang akan terus mewarnainya. Kemerdekaan adalah lambang kebebasan, kedaulatan, kekuatan, dan kejayaan kepada setiap daripada kita , warganegara yang bernaung di bawahnya.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Menghargai Kemerdekaan, Lidah Pengarang, Utusan Malaysia, 31 Ogos 2004 )

Sabtu, 22 Ogos 2009

TAHUN 4/ TEMA 1-SAYANGI DIRI

“TIPS UNTUK MENGAWAL EMOSI ANDA”

1. Selalu berfikiran positif,dan logik.
2. Selalu menenangkan fikiran daripada diganggu.
3. Selalu memberikan senyuman terhadap orang lain walaupun menerima tiada respon .
4. Membaca petikan, kata-kata, cogankata,peribahasa dan lain yang boleh memotivasikan diri.
5. Sentiasa memaafkan orang lain.
6. Selalu berdoa.
7. Elakkan dari hidup yang sentiasa tertekan.
8. Selalu bersenam.
9. Elakkan dari berucap dengan nada yang tinggi.
10.Mempunyai rehat yang cukup.

Jumaat, 21 Ogos 2009

KEPENTINGAN MENGEKALKAN BUDAYA WARISAN BANGSA

Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita smakin lenyap ditelan arus pemodenan.

Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keuikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni.

Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.

Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.

Salah satu tarikan pelancongan ialah keunikan budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita di samping menghayati kekayaam warisan bumi seperti keunikan dan keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia.. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.

Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.

Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.

Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”.

Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.

Selasa, 18 Ogos 2009

HARI KEBANGSAAN KE 52

Sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos 2009 kali ini, akan berlangsung di Dataran Parlimen .Difahamkan perhimpunan kali ini di adakan secara sederhana kerana mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak H1N1 di samping menghormati bulan Ramadhan AlMubarak.

Tema hari kemerdekaan ke 52 :

1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Logo Sambutan Kemerdekaan 2009; 1 Malaysia
Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Sementara itu logo 1 Malaysia ini dilengkapkan dengan lagu khas Satu Malaysia yang telah dicipta oleh Nik Nizam dan Errie Naham dan lirik oleh Lokman Ghani.

Lirik Lagu 1 Malaysia
Satu Malaysia

Berdiri, Teguh di bumi
Nyata pupuk semangat satu Malaysia
Sepakat, Rakyat didahulukan
Pencapaian diutamakan

Perpaduan, Mendapat rahmat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan, Kita bangunkan
Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina Satu Malaysia

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun negara teras panduan
Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Satu Malaysia untuk semua


Pelbagai acara akan diadakan selama sebulan sempena sambutan kemerdekaan akan diisi dengan pelbagai kegiatan yang akan bermula dari 12 Ogos hingga 10 Oktober. Sambutan yang dipanggil Bulan Kemerdekaan ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada 12 Ogos dan berakhir di Kuching, Sarawak pada 10 Oktober dengan perayaan Hari Malaysia.

Tema, logo dan lagu bagi sambutan kemerdekaan ke 52 ini sebenarnya berasaskan slogan dan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia



Isnin, 17 Ogos 2009

KENANGAN MEMBINA BAHAN MODUL DI HOTEL SRI MALAYSIA MERSING

Barisan JU Sekolah Menengah.....

Cikgu Jamal dan Cikgu Khalil tekun menyemak bahan modul...

Cikgu Khalil, Cikgu Roseli, Cikgu Haliza dan Cikgu Faezah mendengar arahan dari Tuan Hj. Ibrahim untuk editing bahan...

Cikgu Haliza dan Cikgu Azimah berbincang tentang pemilihan bahan yang sesuai..

Jamuan ringan di kediaman Puan Haliza bagi meraikan kedatangan rakan JU dan Tuan Hj Ibrahim ke Mersing.


Jumaat, 14 Ogos 2009

KONVENSYEN HAK KANAK-KANAK


Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak telah diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke -44 pada 20 November 1989 secara konsensus. Pada 26 Januari 1990, Konvensi itu telah dibuka untuk ditandatangani ketika menyambut ulang tahun ke-30 Deklarasi Hak-hak Anak (1959-1989) dan ulang tahun ke-10 Tahun Antarabangsa Kanak-kanak (1979-1989). Konvensi mengenai Hak Anak telah dikuatkuasakan pada 2 Spetember 1990 selepas 30 hari ianya diiktiraf oleh 20 negara.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada 28.12.94 dan telah gunapakai pada 7.2.95 akan tetapi Kerajaan Malaysia telah membuat reservasi terhadap fasal 1,2,7,13,14, 15,22,28,37,40 kerana bertentangan dengan dasar, undang-undang dan amalan nasional. Tetapi reservasi-reservasi tersebut akan ditarik balik pada keadaan dan masa yang sesuai oleh kerajaan Malaysia. Pada 25.2.99 Kerajaan telah menarik balik beberapa reservasi dan masih lagi mengadakan reservasi bagi fasal 1,2,7,13,14, 15,28 para 1(a) dan fasal 37.

Secara umumnya, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak mendorong Kerajaan supaya lebih bertanggungjawab untuk kesejahteraan kanak-kanak sebagai mengiktiraf hak mereka. Konvensi itu juga menghuraikan segala keperluan kanak-kanak berasingan dari keperluan orang dewasa.
Konvensyen tersebut mengandungi tiga bahagian dan 54 artikel yang disusun seperti berikut:

Bahagian I: 41 artikel mengenai Hak kanak-kanak.
Bahagian II: 4 artikel mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan Konvensyen serta implikasi bagi negara-negara anggota.
Bahagian III: 9 artikel mengenai pengiktirafan konvensyen dan implikasinya.
Konvensyen itu menekankan bahawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mempunyai hak seperti:

1.Untuk hidup, membesar dengan sihat, menikmati taraf hidup dan pemeliharaan yang sempurna serta belaian kasih sayang dalam suasana kekeluargaan.
2.Untuk mendapat identiti sebagai individu dan warganegara dan;
3.Untuk mendapat perlindungan dari kesukaran atau rintangan dalam hidup semasa dalam kecemasan, peperangan, dalam pelarian, dalam keadaan tidak berupaya dan dari exploitasi atau jenayah.
Konvensyen itu juga menghuraikan segala keperluan kanak-kanak berasingan dari keperluan orang dewasa dengan mengambilkira keperluan seperti:

1.Kerjasama antarabangsa dalam usaha memberi perlindungan kepada kanak-kanak;
2.Peranan dan tanggungjawab keluarga dan negara dalam memberi perlindungan dan menjaga kepentingan kanak-kanak;
3.Memberi tekanan kepada hak kanak-kanak membesar mengikut budaya, kepercayaan atau agama, keluarganya;
4.Memberi perlindungan kepada kanak-kanak sebatang kara yang memerlukan keluarga ganti/pelihara; dan
5.Memberi hak taraf kewarganegaraan kepada semua kanak-kanak

TAHUN 5/ TEMA 1: UNIT 1: AKTIVITI 1B-BERADAB AMALAN TERPUJI

Lengkapkan gambar di bawah dengan dialog yang sesuai.





















Khamis, 13 Ogos 2009

TOKOH KEMERDEKAAN

Peranan Tokoh - Tokoh Kemerdekaan

Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 telah diusahakan oleh para pemimpin yang berwibawa. Sikap bekerjasama dan sentiasa mengutamakan perundingan dan kata sepakat telah menjadi pendekatan terbaik mereka dimana kemerdekaan negara yang dicapai tidak melibatkan pertumpahkan daranh. Antara tokoh-tokoh penting kemerdekaan negara termasuklah:

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beliau merupakan Presiden UMNO, Ketua Parti Perikatan dan Perdana Menteri. melalui kebijaksanaannya mengendalikan pakatan murni antara kaum, kemerdekaan telah dapat dicapai dengan penuh harmoni dan gemilang


Tun Abdul Razak
Beliau merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Tinbalan Perdana Menteri. Beliau telah memainkan peranan sebagai perunding dalam tuntutan kemerdekaan di London pada tahun1956 . Beliau juga menjadi perunding dalam tuntutan kemerdekaan di London pada tahun 1956. Beliau itu juga menjadi perunding dalam menyiapkan perlembagaan Kemerdekaan 1957. Selain itu , beliau telah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyata Pendidikan 1956 yang menggubal sistem pendidikan kebangsaan negara. Laporan itu dikenal sebagai Penyata Razak pada tahun 1957. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada tahun 1970.


Tun H. S. Lee
Beliau merupakan tokoh MCA yang telah memulakan kerjasama antara kaum sehingga mencetuskan idea penubuhan Parti Perikatan . Parti ini telah bekerjasama dengan UMNO dan MIC bagi mendapatkan kemerdekaan negara pada tahun 1957. Bagaimanapun peranan Tan Cheng Lock sebagai Presiden MCA tidak kurang pentingnya sebagai penyokong Tunku Abdul Rahman dalam mendapatkan kemerdekaan Negara.


Tun V. T. Sambathan
Beliau merupakan presiden MIC yang telah bersama-sama Tunku Abdul Rahman mendapatkankemerdekaan negara. Beliau telah menyokong sepenuhnya dasar kerjasama kaum sebagai tonggak kemerdekaan negara yang kukuh dan menyeru kaum India supaya m,emberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara ini.

Rabu, 12 Ogos 2009

CONTOH SUDUT PEMBELAJARAN DAN HASILAN PROJEK KEWARGANEGARAAN


CONTOH SUDUT PAMERAN PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN


CONTOH BUKU SKRAP DAN FOLIO PROJEK KEWARGANEGARAAN

CONTOH HASILAN PROJEK KEWARGANEGARAN

KUIH UBI GETOK-(PROJEK KEWARGANEGARAAN TAHUN 5)


BANNER KEMERDEKAAN-(PROJEK KEWARGANEGARAAN TAHUN 6)

Ahad, 9 Ogos 2009

TAHUN 4/ TEMA 5 : UNIT 8: AKTIVITI 8E-IDENTITI NEGARA

1. BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA



BUNGA RAYA
Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu[1] (Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan

Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertaniantelah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai,Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.
Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.
Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian
India

2.LAMBANG/JATA NEGARA MALAYSIA




Lambang Malaysia, atau Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia.

Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

3.BENDERA MALAYSIA-JALUR GEMILANG

KETERANGAN LAMBANG-LAMBANG PADA BENDERA MALAYSIA
Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar,
tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor,
Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas
jalur merah yang kelima melambangkan Perpaduan Rakyat Malaysia.
Bahagian biru tua ini mengandungi anak bulan, tanda Agama Islam. Bintang pecah 14 tandanya
Perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.

Bendera Malaysia dan bendera-bendera negeri hanya boleh dikibarkan pada upacara-upacara rasmi seperti keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Ulang Tahun Hari Kemerdekaan, perayaan-perayaan Persekutuan dan Negeri-negeri, lawatan-lawatan rasmi, di kedutaan-kedutaan Malaysia luar negeri serta upacara-upacara rasmi negara (seperti Majlis Tilawah, SukanNegara). Malah bendera Malaysia berkibar bersama-sama dengan bendera negara-negara lain di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

4. RUKUNEGARA MALAYSIA

Sejarah Rukun Negara

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

IKRAR

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan Dan Kesusilaan
.

5. LAGU NEGARAKU

Sejarah Lagu Negaraku
Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Beliau mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Namun demikian tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada Benjamin Britten, Sir William Walton yang menggubah lagu perbarisan untuk permahkotaan Ratu Elizabeth II, penggubah opera Amerika Gian Carlo Menotti dan Zubir Said. Namun, hasil gubahan mereka juga ditolak.

Akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada bagi mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri, Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara.

Lagu ini telah popular di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

Lagu ini kemudiannya telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku. Selepas itu irama ini tidak lagi dijadikan sebagai lagu hiburan kerana dilarang

Seni kata Lagu Negaraku

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta

TAHUN 4/ TEMA 5: UNIT 7 KENALI MALAYSIA



Kenalilah Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan jumlah keluasan 329,758 kilometer persegi. Malaysia mengandungi 13 buah negeri (termasuk Sabah dan Sarawak) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Ibu kotanya Kuala Lumpur terletak di Semenanjung Malaysia


Kenali Malaysia : Perlembagaan Malaysia
Perlembagaan merupakan satu susunan rang undang-undang dasar yang merangkumi prinsip serta peraturan bagi menentukan bentuk pemerintahan sesebuah negara.
Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan bertulis yang berdasarkan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Ia menjamin kestabilan politik, perpaduan rakyat, kemajuan negara serta sistem pemerintahan yang cekap dan sistematik.
Ciri-ciri Perlembagaan Malaysia:
(a). Pemerintahan berdasarkan prinsip demokrasi
(b). Agama Islam adalah agama rasmi tetapi kebebasan amalan agama-agama lain dibenarkan.
(c). Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
(d). Kedudukan setiap rakyat adalah sama di sisi undang-undang
(e). Yang Di-Pertuan Agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Kenali Malaysia : Rukun Negara
Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan Malaysia. Rukun Negara telah dihasilkan oleh MAGERAN (Majlis Gerakan Rakyat) setelah peristiwa trajedi 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969.

Rukun Negara

Kepercayaan Kepada Tuhan

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-undang

Kesopanan dan Kesusilaan

Kenali Malaysia : Penduduk
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Orang Melayu, Cina dan India masing-masing membentuk 59%, 32% dan 8%, iaitu 99% daripada jumlah penduduk. 1% penduduk yang lain termasuk Kadazan, Iban, Bajau, Kayan, Kenyah, Kedayan, Murut, Melanau, Serani dan orang asli yang lain. Kesemua kaum hidup harmoni sungguhpun mempunyai kepercayaan, kebudayaan dan latar belakang sejarah yang berbeza. Mereka telah bersama-sama membentuk sebuah negara yang bersatu dan makmur.

Kenali Malaysia : Iklim
Kedudukan Malaysia adalah di kawasan khatulistiwa, dikelilingi hampir di semua arah oleh laut, memberikan Malaysia iklim panas, basah dan hujan sepanjang tahun.
Ciri-ciri iklim:
(a). Hujan

(i). Taburan hujan rata dan lebat (lebih kurang 2500 mm)
(ii). Dua musim hujan lebat serentak dengan ekuinoks, yang mana April dan Oktober adalah bulan-bulan yang menerima hujan lebat.
(iii). Kebanyakan hujan yang turun ialah jenis hujan perolakan
(iv). Kawasan tinggi menerima hujan bukit

(b). Suhu

(i). Min suhu tinggi, kira-kira 27 darjah selsius.
(ii). Julat suhu tahunan kecil, kira-kira 1 darjah selsius.

Sejarah Malaysia
Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sebelum negara ini mencapai kemerdekaan, pihak kerajaan berusaha untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat. Pihak kerajaan menghadapi pelbagai masalah seperti masalah kerakyatan, masalah agama, masalah bahasa rasmi dan masalah sosial. Perjalanan menuju ke arah kebebasan dan demokrasi bukan semudah yang kita sangkakan. Pelbagai masalah yang wujud dalam masyarakat pelbagai kaum perlu diselesaikan sebelum kita memimpikan kemerdekaan. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia telah berjaya mengecapinya hasil daripada kebijasanaan pemimpin-pemimpin serta pengorbanan dan tolak ansur rakyat Malaysia.
Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia terus berkembang maju dan mula dikenali di pentas antarabangsa. Kita perlu bersyukur kerana dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Di bawah pemerintahan kerajaan Malaysia yang berkesan, kita telah berjaya mengharungi nama tanah air kita dalam apa jua bidang.
Malaysia telah dilanda krisis ekonomi pada Julai 1998, kemelesetan ekonomi ini merupakan satu trajedi daripada sistem pasaran terbuka yang tidak sempurna. Malaysia telah berjaya mengekalkan dan memulihkan ekonominya dalam tempoh masa yang pendek kerana berani mengambil langkah-langkah drastik yang sangat berkesan.
Pada masa ini, Malaysia sekali lagi menghadapi satu cabaran yang baru dalam alaf yang baru ini. Perkara seperti tunjuk perasaan dan perhimpunan haram tidak patut berlaku Malaysia. Rakyat Malaysia harus bersyukur atas kesenangan dan kemakmuran yang dinikmati. Rakyat Malaysia perlu imbas semula perjuangan pahit pahlawan negara demi mengerja cita-cita kemerdekaan. Kita tidak mahu hidup dalam keadaan seperti mana yang berlaku di Indonesia, negara jiran kita. Keamanan bukan sesuatu yang mudah diperolehi, kita harus menghargainya sebelum terlambat.
Kebanggan Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang telah menunjukkan kebolehannya menandinggi negara-negara maju lain di dunia.
Walaupun usia kemerdekaan Malaysia hanya menjangkau setengah abad namun Malaysia boleh menandinggi negara-negara yang telah merdeka berabad lamanya. Ini dibuktikan dengan kejayaannya yang dikecapi Malaysia seperti pembinaan litar Sepang, Menara Berkembar Petronas, dan Menara Kuala Lumpur.
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya yakin dan bangga terhadap negara kita Malaysia
Perlembagaan Malaysia
Perlembagaan merupakan satu susunan rang undang-undang dasar yang merangkumi prinsip serta peraturan bagi menentukan bentuk pemerintahan sesebuah negara.
Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan bertulis yang berdasarkan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Ia menjamin kestabilan politik, perpaduan rakyat, kemajuan negara serta sistem pemerintahan yang cekap dan sistematik.

TAHUN 4/ TEMA 1: UNIT 2: AKTIVITI 2A MAKANAN SEIMBANG

Pengenalan


Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat. Makanan yang dimakan seharian perlu diambil dalam kuantiti yang besar daripada kumpulan makanan di bahagian bawah Piramid, dan paling sedikit daripada kumpulan makanan di bahagian atas. Piramid Makanan mengandungi makanan yang dibahagikan kepada lima kumpulan berasaskan kepada kandungan zat dan fungsinya.

Pemakanan berpandukan piramid makan

  • Makanan berkhasiat penting untuk anak anda kerana ia:

    • Membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan
    • Membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental
    • Membantu dalam mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan
    • Menyediakan bekalan nutrien yang cukup untuk keperluan pertumbuhan pada peringkat remaja.
  • Piramid Makanan Malaysia memberi panduan tentang bagaimana untuk mengimbangkan pengambilan makanan setiap hari. Makanan yang pelbagai membantu anak anda mendapat semua nutrien yang diperlukan.
  • Pilih gabungan makanan setiap hari berpandukan Piramid Makanan Malaysia

Aras 1: Bijirin dan ubi-ubian

  • Beri anak anda lebih banyak makanan dari kumpulan ini.
  • Kumpulan makanan ini adalah sumber paling baik untuk karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada anak anda.
  • Kumpulan ini juga mengandungi vitamin, mineral, serat dan sejumlah protein.
  • Contoh : Nasi, mee, roti, pasta, bubur, capati dan biskut
  • Anak anda memerlukan 6 hingga 8 hidangan setiap hari

Aras 2: Buah dan sayur

  • Berikan anak anda lebih makanan daripada kumpulan ini.
  • Ia membekalkan vitamin, mineral dan serat kepada anak anda.
  • Anak anda perlukan sekurang - kurangnya 2 hidangan setiap hari.

Aras 3: Ikan, ayam, daging, kekacang, susu dan hasil tenusu

  • Anak anda harus mengambil makanan dalam kumpulan ini dalam kuantiti yang sederhana
  • Makanan dalam kumpulan ini membekalkan sumber protein, vitamin B dan mineral
  • Keperluan untuk anak anda ialah 2 hidangan untuk ikan, ayam, itik, daging dan ubi - ubian dan 2 hingga 3 hidangan untuk susu dan hasil tenusu setiap hari.

Aras 4: Lemak, minyak dan kumpulan gula

  • Pastikan anak anda kurangkan pengambilan daripada kumpulan makanan jenis ini

Sabtu, 8 Ogos 2009

TAHUN 4/ TEMA 2: UNIT2 : AKTIVITI 2A-GIZI MAKANAN


GIZI MAKANAN

Karbohidrat

  • Karbohidrat ialah sebatian organik besar terdiri daripada unsur-unsur karbon, hidrogen, dan oksigen.
  • Fungsi utama karbohidrat dalam organisma ialah membekalkan tenaga.
  • Tiga kumpulan karbohidrat ialah monosakarida, disakarida,dan polisakarida.
  • Monosakarida manis dan larut dalam air. Ia terdiri daripada glukosa, fruktosa, dan galaktosa.
  • Disakarida terdiri daripada maltosa, sukrosa, dan laktosa. Ia manis dan larut dalam air.
  • Polisakarida tidak larut dalam air kecuali glikogen yang larut di dalam air. ia berasa manis.
  • Contoh polisakarida ialah kanji, selulosa, dan glikogen.

Protein

  • Protein terbina daripada unsur-unsur karbon, hidrogen, oksigen, dan nitrogen.
  • Contoh protein ialah susu, kacang tanah, ikan, daging, dan keju.
  • Monomer bagi protein ialah asid amino.
  • Dua kelas asid amino ialah asid amino perlu dan asid amino tidak perlu.
  • Asid amino perlu ialah asid amino yang tidak dapat disintesiskan dalam sel, contohnya leusina, dan lisina.
  • Asid amino tidak perlu ialah asid amino yang boleh disintesiskan dalam sel. Ia tidak perlu diperolehi dari gizi makanan. Contohnya ialah alanina.
  • Dua kelas protein ialah protein kelas pertama dan protein kelas kedua.
  • Protein kelas pertama ialah protein yang mengandungi semua 10 jenis asid amino yang diperlukan oleh badan. Ia terdapat pada daging, ikan, susu, dan telur.
  • Protein kelas kedua pula merupakan protein yang tidak mengandungi kesemua asid amino yang perlu. Ia terdapat dalam protein tumbuhan seperti sayuran, kekacang, dan buah-buahan.

Lipid/Lemak

  • Lemak dan minyak berasal daripada haiwan dan tumbuhan.
  • Pada suhu bilik, lemak berada dalam keadaan pepejal manakala lemak pula berada dalam keadaan cecair.
  • Lemak dan minyak berfungsi sebagai tenaga simpanan, digunakan sebagai penebat haba, dan perlindungan.

Vitamin

Vitamin

Sumber

Fungsi

Kesan kekurangan

A (retinol)

susu, kuning telur, mentega, minyak, hati, ikan, lobak merah, bayam,dan sayuran

  • Mengekalkan fungsi mata
  • Memelihara kesihatan kulit
  • Membina ketahanan terhadap penyakit
  • Rabun malam
  • Xeroftalmia
  • Kulit kering, bersisik

Tiamin

Yis, bijirin, daging, hati

  • Fungsi normal saraf
  • Beri-beri

Riboflavin

Yis, bijirin, keju, susu, sayuran hijau

  • Mengawal pertumbuhan dan mengekalkan kesihatan kulit
  • Kulit merekah di mulut, hidung, dan telinga
  • Sakit mata, lidah membengkak

Niasin

Yis, bijirin, hati, kopi

  • Memelihara kesihatan sistem saraf
  • Pelagra

Asid pantotenik

Kuning telur, hati, ikan, sayuran hijau

  • Pembentukan antibodi
  • Kelesuan
  • Kekejangan otot

Piridoksin

Daging, ikan, bijian, telur, pisang, dan kentang.

  • Fungsi normal otak
  • Keimunan
  • Pertumbuhan terbantut

Kobalamin

Daging, ikan, tenusu

  • Pembentukan sel darah merah
  • Anemia

Asid folik

Cendawan, kuning telur, hati, sayuran hijau

  • Sintesis asid nukleik
  • Anemia

H (Biotin)

Kuning telur, hati pisang

  • Berperanan dalam metabolisme lemak dan karbohidrat
  • Rambut gugur
  • Kelesuan

C (Asid askorbik)

Betik, limau, oren, tomato, sayuran hijau

  • Memelihara kesihatan kulit
  • Skurvi
  • Anemia

D (Kalsiferol)

Telur, minyak ikan kod, mentega

  • Penyerapan kalsium dan fosforus dalam usus kecil
  • Riket

E (Tokoferol)

Sayuran hijau, minyak tumbuhan, kuning telur

  • Pembentukan sel darah merah
  • Sistem pembiakan
  • Mandul
  • Keguguran

K (Filokuinon)

Bayam, sayuran hijau

  • Pembekuan darah
  • Darah tidak memb

Garam Mineral

Garam mineral

Fungsi

Kesan kekurangan

Kalsium

  • Kandungan utama tulang dan gigi
  • Pertumbuhan rangka terencat

Magnesium

  • Pembinaan tulang dan gigi
  • mengekalkan fungsi otot dan sistem saraf
  • Fungsi otot dan saraf terjejas

Ferum

  • Kesihatan kulit
  • Anemia
  • Kulit kering dan merekah

Natrium

  • Komponen penting plasma darah
  • kekejangan otot

Kalium

  • Memastikan pengecutan otot yang normal
  • Pemindahan impuls saraf
  • Fungsi normal sel terganggu
  • Menghalang pengecutan otot

Iodin

  • Terlibat dalam pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak
  • Beguk
  • Kretinisme

Sulfur

  • Membentuk komponen sesetengah asid amino

Fosforus

  • Pembentukan tulang dan gigi
  • Pembentukan tulang dan gigi tidak sempurna
  • Proses pemghasilan tenaga terhalang

Klorin

  • Memelihara tekanan osmosis yang normal dalam bendalir sel
  • Membina ATP semasa proses respirasi sel
  • Kekejangan otot

Serabut dan air

  • Serabut terdiri daripada gentian selulosa dinding sel tumbuhan yang melalui salur pencernaan tetapi tidak dicernakan
  • Serabut membentuk bahan pejal untuk otot usus menolak semasa otot dinding usus mengecut dalam proses peristalsis.


Serabut dan air

  • Serabut terdiri daripada gentian selulosa dinding sel tumbuhan yang melalui salur pencernaan tetapi tidak dicernakan
  • Serabut membentuk bahan pejal untuk otot usus menolak semasa otot dinding usus mengecut dalam proses peristalsis.

PERSEMBAHAN GAMELAN

PERSEMBAHAN MUZIK BAMBOO SABAH

TAHUN 5: AKTIVITI 2A-SET INDUKSI(URUS MASA,KERJA SEMPURNA)

TAHUN 4: AKTIVITI 1 E-Saya Yakin Boleh

MUHIBBAH

MALAYSIAKU.. INDAH, PERMAI DAN MENAKJUBKAN...

TEMA 2-HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT :MENGHAYATI ADAB BERJIRAN

TAHUN BARU CINA

CAHAYA DEEPAVALI

ADAB BERHARI RAYA KAUM MELAYU

BERHEMAH TINGGI AMALAN MULIA

TEMA 3:HIDUP BERSAMA DISEKOLAH DAN MASYARAKAT -BUDI BAHASA AMALAN KITA

TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA-SURAT DARI SEORANG IBU

PERMAINAN TRADISIONAL ETNIK SARAWAK- TIBOW